![]() |
| www.rumahzakat.org |
Kata orang, tak kenal maka tak cinta. Begitu jugalah dengan
Kitabullah ini, mereka yang tidak kenal dan tidak memahami isinya serta
tujuannya diturunkan tidak mungkin dapat merasakan kecintaan kepada al-Quran.
Saya sentiasa merasakan sebab keruntuhan dan kemunduran umat Islam di zaman ini
adalah kerana jauhnya mereka daripada al-Quran. Adakah kita mempunyai pilihan
samada mahu hidup berpandukan al-Quran atau tidak, samada mahu mencintai
al-Quran atau tidak? Anda sendiri tahu jawapannya.
Tatkala Allah menciptakan Adam ‘alayhis-salam dan
menurunkannya ke bumi, manusia tidak dibiarkan meraba-raba kehilangan arah dan
tidak tahu tujuan hidup. Lantas Allah mengutuskan para Rasul dan Nabi sebagai
orang yang ditugaskan untuk memandu manusia. Untuk umat Nabi Muhammad
shallallahu ‘alayhi wa sallam, Allah telah menurunkan al-Quran sebagai manual
kehidupan kita dalam perjalanan menuju ke alam yang kekal abadi. Maka kita
tiada pilihan, jika mahu bahagia dan selamat sampai kepada Allah, kita mesti
menjadikan al-Quran sebagai petunjuk kita. Dan inilah akibat jika berpaling
daripada al-Quran, Allah menyebut dalam surah Taha ayat 124 yang bemaksud :
“Dan sesiapa yang berpaling ingkar dari petunjukKu, maka sesungguhnya baginya
kehidupan yang sempit, dan Kami akan himpunkan dia pada hari kiamat dalam
keadaan buta. Ia berkata: “Wahai Tuhanku, mengapa Engkau himpunkan daku dalam
keadaan buta, padahal aku dahulu melihat?”, Allah berfirman: “Demikianlah
keadaannya! Telah datang ayat-ayat keterangan Kami kepadamu, lalu engkau
melupakan serta meninggalkannya, dan demikianlah engkau pada hari ini dilupakan
serta ditinggalkan”.
Lihatlah tatkala Nabi shallallahu ‘alayhi wa sallam mengadu
kepada Allah akan kaumnya yang meninggalkan al-Quran dalam ayat 30 surah
al-Furqan yang bermaksud : “Dan berkatalah Rasul: “Wahai Tuhanku, sesungguhnya
kaumku telah menjadikan Al-Quran ini satu perlembagaan yang ditinggalkan, tidak
dipakai.” Al-Imam Ibn Kathir rahimahullah menyebut gejala meninggalkan al-Quran
ini terdiri daripada beberapa bentuk [Lihat : Ibn Kathir, Tafsir al-Quran
al-‘Azhim] ;
- Ketika al-Quran dibacakan, dia bercakap-cakap mengenai perkara lain supaya tidak mendengar al-Quran. Inilah adalah contoh sikap orang-orang Musyrik terhadap dakwah Nabi shallallahu ‘alayhi wa sallam.
- Tidak mempelajari isi kandungan al-Quran serta tidak berusaha menghafaznya walaupun sedikit.
- Tidak beriman dan tidak membenarkan isi kandungannya.
- Tidak membaca al-Quran dengan tadabbur (membaca dengan pemahaman dan penghayatan).
- Meninggalkan perintah yang disebut dalam al-Quran dan melakukan perbuatan yang ditegahnya.
- Melebihkan perkara lain daripada al-Quran; perkataan manusia, lagu, syair dan sebagainya.
Sama-sama kita perhatikan, adakah kita termasuk antara
golongan yang disebutkan di atas? Antara salah satu cara untuk mengelakkan kita
daripada termasuk golongan yang disebutkan di atas adalah dengan menjadikan
membaca al-Quran itu sebagai amalan harian yang mesti kita kerjakan.
Luangkanlah sedikit masa untuk kita meneliti ayat-ayat Allah dan fahamilah ia
supaya dapat dijadikan panduan. Seperti sabda Nabi shallallahu ‘alayhi wa
sallam : “Sesungguhnya amalan yang paling disukai oleh Allah adalah yang
dilakukan secara berterusan walaupun ianya sedikit.” [Diriwayatkan oleh Ahmad,
Abu Daud dan al-Nasa’ie; dinilai sahih oleh al-Arna-uth]
Oleh itu, saya menyeru kepada kawan-kawan di luar sana agar
banyakkan membaca al-Quran dan jangan sekali-kali meninggalkan membaca
al-Quran. Yang paling penting, ia mesti dibaca dengan pemahaman agar kita
mendapat faedahnya iaitu menjadikan kita hamba Allah yang kenal Penciptanya dan
menjadi Muslim yang ‘celik agama’ dan bukan sekadar Muslim pada nama sahaja.
Antara tujuan al-Quran diturunkan adalah untuk diteliti isi kandungannya
seperti maksud firman Allah : “(Al-Quran ini) sebuah Kitab yang Kami turunkan
kepadamu (dan umatmu wahai Muhammad), -Kitab yang banyak faedah-faedah dan
manfaatnya, untuk mereka memahami dengan teliti kandungan ayat-ayatnya, dan
untuk orang-orang yang berakal sempurna beringat mengambil iktibar.” (Shad :
29)
Semoga Allah menjadikan kita di kalangan ahli al-Quran.
sumber: ilidalila.wordpress.com

Semoga Sobat hari ini lebih baik dari kemarin, jika ada yang ingin ditanyakan terkait program RZ Cilegon, silahkan isikan komentar dibawah ini
EmoticonEmoticon